APMM Pulau Pinang menahan sebuah bot kayu yang membawa PATI Indonesia di di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang semalam.

BALIK PULAU – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menggagalkan cubaan 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia memasuki perairan negara selepas kesemua mereka diberkas di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang di sini, semalam.

Tangkapan dilakukan selepas APMM menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan Ops Pertiwi pada jam 9.30 pagi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, hasil maklumat tersebut membawa kepada penahanan sebuah bot kayu bersama 14 lelaki warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 21 hingga 51 tahun.

Empat PATI bertindak terjun laut untuk melarikan diri namun gagal selepas kesemua mereka berjaya diberkas bersama PATI lain.

Jelas beliau, ketika APMM menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, empat individu bertindak terjun laut untuk melarikan diri, namun cubaan mereka gagal selepas berjaya ditahan bersama PATI lain.

“Hasil siasatan mendapati mereka dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Acheh memasuki negara ini melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

“Kesemua PATI itu ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, pihaknya berterima kasih kepada komuniti maritim yang prihatin dalam menyalurkan maklumat serta aduan segera melibatkan aktiviti jenayah di persekitaran mereka dan berharap ia dapat dikekalkan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan bersama.

Selain itu, orang ramai yang mempunyai aduan salah laku jenayah maritim di laut atau kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau talian kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pati yang berjaya membolosi dah lama bersepah-sepah berselerak lantaran cekup pati cuma melepaskan batuk di tangga je.

Comments are closed.