Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua pembantu pertahanan awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM18,500 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia.

Mohd Nazrin Mohd Nasir, 38, dan Salina Kamarulzaman, 41, yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kedua-dua tertuduh didakwa menerima wang tunai itu daripada Rajman Hashim, 49, sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Pendang Jaya Sdn Bhd mendapatkan projek membekal, menghantar dan memasang peralatan pejabat akademi tersebut di Kajang.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Putrajaya pada 12 tengah hari hingga 1 petang 11 Okt 2021 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap awal bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mohd Nazrin merayu jaminan dikurangkan atas alasan mempunyai komitmen kewangan yang tinggi iaitu membayar pinjaman rumah dan pelajaran manakala Salina memohon jaminan minimum kerana menghidap penyakit kronik serta menanggung ibu bapa yang uzur akibat strok.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes.

Mohd Nazrin turut berdepan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Radzi Harun, 43, bagi tujuan sama di Mahkamah Sesyen yang berbeza.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di lot parkir berhampiran sebuah restoran pada 9.30 malam hingga 10 malam 8 Oktober 2021.

Fadhli menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Azura untuk dibicarakan bersama.

Hakim Suzana Hussin menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kes itu dipindahkan di hadapan Azura. – Bernama