Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Individu yang didapati positif Covid-19 kategori 1 dan 2A serta bukan berisiko tinggi, tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Sebaliknya, mereka terutama yang berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid hanya perlu melakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka hanya perlu menghantar pesanan ringkas (SMS) atau menunggu panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari.

Jelas beliau, individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon.

“Individu yang positif Covid-19 kategori 2B dan ke atas, sama ada berisiko tinggi atau tidak atau mempunyai gejala semakin teruk dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon.

“Tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang telah lengkap vaksinasi termasuk mendapat dos penggalak adalah tujuh hari.

“Tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah 10 hari. Tempoh isolasi terkini tidak mengambil kira sama ada bergejala atau tidak bergejala,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Noor Hisham menyatakan, individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan itu.

Malah, KKM menasihatkan individu berkenaan segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19.

Katanya, bagi yang telah mendaftar, KKM memohon mereka hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“Kita juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast