MERSING – Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di sini mengharapkan pengundi tempatan dapat membantu memilihnya sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan raya Negeri Johor kali ini.

Ismail lebih mesra disapa Mail Lambong dalam kalangan penduduk tempatan muncul dengan traktor diiringi kaum keluarga serta rakan-rakanya berarak di epi pantai di Air Papan untuk meraih undi.

Katanya, beliau mahu tampil sebagai anak watan Mersing yang berbakti kepada penduduk  namun mengakui tidak mudah berdepan calon-calon parti gergasi di kerusi DUN kali ini.

“Ini julung kali dalam sejarah kerusi DUN Endau saya tampil bertanding sebagai calon bebas, dan saya sedar laluannya mencabar kerana ada parti gading bertanding.

Mail Lambong turun berkempen dengan traktor di kawasan pedalaman Air Papan Penyabong, Endau menjelang PRN Johor 12 Mac ini.

“Kita hanya parti biasa dan halus biarlah penduduk saya menentukan kemenangan saya dengan undi mereka Sabtu ini.

“Tetapi saya sangat berharap supaya rakyat sokong saya. Tak menang pun tidak mengapa, kalau dapat 25 hingga 30 peratus undi pun sudah memadai, dapat lepas wang deposit pun bersyukur,” katanya ketika ditemui di Kampung Tenglu Endau tengah hari tadi.

Menurut Ismail, di pecutan terakhir ini beliau akan berkempen secara agresif dan mensasarkan pengundi di kawasan pedalaman.

“Saya fokuskan yang pertama generasi kedua di Endau kerana penduduk kawasan kampung sekitar Endau tidak dihiraukan sebaliknya mereka fokus kepada Felda kenapa tak ambil berat orang kampung di Air Papan?

“Itulah sebabnya saya membuat keputusan untuk bertanding kali ini demi penduduk kampung saya mengemukakan lambang traktor yang kebal menolak apa jua bentuk halangan mendatang,” tegasnya. – MalaysiaGazette