Dr. Adham Adham Baba ketika melancarkan program MyStartup

JOHOR BAHRU – Program MYStartup yang menetapkan sasaran lebih 5,000 syarikat pemula niaga dan lima syarikat berstatus ‘unicorn’ menjelang akhir 2025 dimulakan dengan siri jelajah di Johor.

Majlis pelancaran program yang mendapat suntikan dana sebanyak RM20 juta itu disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovas, Datuk Seri Dr. Adham Baba di Common Ground Iskandar Space di sini petang tadi.

Pada majlis tersebut Dr. Adham turut melancarkan Geran Pembiayaan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) iaitu Cip Spark dan Cip Sprint.

Cip Spark merupakan geran pembangunan bersyarat yang terbuka kepada individu, syarikat persendirian, perkongsian lialibiti terhad dan syarikat sendirian berhad.

Manakala Cip Sprint adalah geran pengkomersialan bersyarat boleh ubah yang terbuka kepada syarikat jenis sendirian berhad, termasuk syarikat milikan universiti dan institut penyelidikan.

Kedua-dua geran menawarkan tempoh pembiayaan sehingga 18 bulan.

“Cip Spark dan Cip Sprint telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan merangkumi pembiayaan bagi tujuan pembangunan dan prapengkomersialan untuk membantu usahawan teknologi di peringkat awal bagi membangun dan mengkomersialkan produk-produk mereka di pasaran.

“Selain menerima suntikan dana, pemohon Cip Spark dan Cip Sprint yang berjaya juga akan disokong dengan akses kepada rangkaian perniagaan serta perkhidmatan tambah nilai lain seperti pembangunan model perniagaan, bimbingan kemahiran pengesahan pasaran dan juga akses kepada pasaran,” kata Dr. Adham dalam ucapan.

Siri jelajah itu turut mendapat sokongan Iskandar Investment Berhad, Common Ground Iskandar Space dan INFINITY 8 sebagai rakan strategik.

Selepas Johor, jelajah akan turut diadakan di negeri-negeri lain bagi memastikan kumpulan sasar mendapat pendedahan dan peluang yang sama dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Cradle.

Sepanjang program Cradle akan memberi penerangan terperinci serta hebahan mengenai program tersebut.

Ini termasuk penerangan mengenai kriteria permohonan geran, pemadanan perniagaan dengan dana yang bersesuaian, sesi networking dan juga bengkel.

Antara program yang telah dirancang sepanjang tahun ini termasuk  MYHackathon 2022,  MYStartup Hackathon, MYStartup Pre-Accelerator dan MYStartup Accelerator, MYStartup Internship dan MYStartup Mentorship. – MalaysiaGazette