Ismail sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan pertemuan dengan delegasi tokoh-tokoh bahasa berkaitan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan di Bangunan Parlimen, di sini.

Pertemuan selama kira-kira setengah jam itu dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Satu Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Pengerusi Persatuan Kebudayaan Han, Datuk Goh Hin San.

Rais ketika ditemui media selepas pertemuan itu berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah usaha penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara.

“Antara yang dipersetujui untuk diperhebatkan ialah Bahasa Melayu akan terus menjadi (bahasa) diplomasi.

“Misalnya jika orang (kerajaan) Vietnam datang ke Malaysia, jika Perdana Menterinya datang dan menggunakan Bahasa Vietnam, maka Perdana Menteri kita harus berbahasa Melayu. Jika Perdana Menteri kita ke negara Arab juga sama, akan ada penterjemah untuk dari rombongan kita. Tetapi jika ke negara Eropah dan menggunakan Bahasa Inggeris, maka ada pilihan untuk menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, Rais berkata, cadangan lain yang dibincangkan ialah memberikan latihan kepada juruhebah radio dan pengacara televisyen supaya mereka petah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

Sementara itu, Rais juga berkata, perlu ada usaha terjemahan buku-buku penting untuk ilmu ke Bahasa Melayu demi mengembangkan ilmu tersebut kepada masyarakat di negara ini.

“Usaha-usaha meraikan Bahasa Melayu seperti Bulan Bahasa Kebangsaan juga perlu diperluaskan, kita berharap cadangan-cadangan ini nanti akan dibawa ke kabinet untuk dipersetujui dan Perdana Menteri akan membuat pengumuman penting berkenaan Bahasa Melayu nanti,”katanya.

Perdana Menteri pada Februari lepas berkata, Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Ismail Sabri berkata penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat juga perlu dimartabatkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast