Wan Saiful Wan Jan Johor MB Puad Zarkashi Hasni Mohammad Shamsul Anuar Nasarah UMNO PN Bersatu BN Johor state election
Wan Saiful Wan Jan

JOHOR BAHRU – Datuk Wan Saiful Wan Jan adalah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukan jurucakap Barisan Nasional (BN).

Oleh itu, apa sahaja yang disebut olehnya membabitkan BN tidak boleh dipercayai, tegas Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

“Jangan percayakan dia ya.

“Apatah lagi janji beliau sewaktu merangka manifesto PN PRU14 pun banyak sangat tidak betul. Tanya dia PTPTN macam mana?,” kata beliau yang mengulas tentang kenyataan Wan Saiful tentang kedudukan Datuk Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besar Johor.

Wan Saiful sebelum ini mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu mencalon Datuk Mohd Puad Zakarshi sebagai calon menteri besar.

Alasan beliau kerana Puad merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Wan Saiful turut mendakwa Puad telah giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Hasni sekiranya UMNO menang.

Bagaimanapun, kenyataan demi kenyataan mengenai kedudukan Hasni sebagai calon menteri besar yang dibuat oleh Wan Saiful dibidas oleh pemimpin UMNO.

Ahmad Zahid berkata, BN tidak pernah mencalonkan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu atau individu lain selain Hasni sebagai menteri besar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula menyifatkan Wan Saiful sebagai meroyan.

Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dakwaan itu hanya untuk melaga-lagakan dan sepatutnya pengundi-pengundi tidak perlu terikut-ikut dengan sentimen tersebut. – MalaysiaGazette