Calon dari Barisan Nasional N.32 Endau, Mohd Youzaimi Yusof di sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Felda Endau Mersing, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 MAC 2022.

MERSING – Sambutan memberangsangkan dalam kalangan belia dan orang lama menjadi kekuatan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Endau, Youzaimi Yusof untuk terus berkempen sehingga tamat tempoh berkempen.

Youzaimi berkata, sejak hari pertama kempen beliau memulakan perjuangan seawal jam 5 pagi menyantuni para pengundi di kawasan yang ditandinginya itu.

“Walaupun ada kekangan Covid-19 dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung penularan wabak tersebut, saya sudah mengadakan pelbagai program.

“Ada juga hari yang saya dapat berkempen di empat lokaliti PDM dan berkunjung rumah ke rumah untuk mempromosikan diri.

“Alhamdulillah, ramai penduduk dan pengundi di DUN Endau menyatakan sokongan kepada BN dan rakan seperjuangan di N33 pun mendapat penerimaan yang sama daripada pengundi kawasan beliau,” katanya.

Menurut Youzaimi, beliau dan calon BN N33 Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy akan menyumbangkan dua kerusi untuk memastikan kerajaan negeri Johor dibentuk di bawah parti BN.

“Saya yakin kali ini di bawah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, kita (BN) akan mendapat sekurang-kurangnya 43 kerusi untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” katanya yakin walaupun baru pertama kali bertanding di kerusi DUN tersebut. – MalaysiaGazette