Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Agensi Nuklear Malaysia kini sedang menjalankan penyelidikan bagi penghasilan benih padi yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air khususnya apabila berlaku banjir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penghasilan varieti benih padi yang ditambah baik itu akan diberi nama ‘IS22’ dan penyelidikan dibuat dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta agensi dalam dan luar negara.

“Penyelidikan benih padi ‘IS22’ ini akan dilakukan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Universiti Pertanian Malaysia (UPM)dan Universiti Teknologi Mara (UITM).

Selain itu, turut mendapat bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform Forum Nuclear Cooperation in Asia di bawah platform Forum Nuclear Cooperation in Asia.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba. Foto FAREEZ FADZIL, 13 DISEMBER 2021.

Tambah Adham, penyelidikan ini bertujuan menyambut baik permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ke arah komitmen kerajaan bagi membantu petani dan pesawah agar tidak rugi jika tanaman mereka terjejas berikutan cuaca ekstrem tidak menentu.

Beliau juga menjelaskan, Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global.

“Seorang pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia sedang membuat kajian PhD untuk mendapatkan padi yang rintang kepada banjir (submerge) di mana padi IS21 dikahwinkan dengan kaedah kacukan balik (advanced backcross method) dengan varieti yang tahan banjir dan matang awal.

“Pada masa sama, Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau yang juga dibuat tahun ini menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi menggunakan alur ion (ion beam) khidmat sinaran yang diperolehi daripada Quantum and Radiological Science and Technology (QST),” ujarnya.

Bagaimanapun, Adham berkata, kajian itu mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum satu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah. – MalaysiaGazette.