Mohamad (kanan) bersama beberapa pegawai KPM meninjau keadaan sekolah Menengah Kebangsaan Suria Jaya, Parit Yaani yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

PARIT YAANI – Kementerian Pendidikan akan menyelesaikan masalah “projek sakit” melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Jaya, di sini yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, projek itu dilaksanakan secepat mungkin dan pihak kementerian akan membuka tender melantik kontraktor baharu.

Katanya, sekolah itu telah pun 97 peratus siap namun disebabkan prestasi yang tidak memuaskan khidmat kontraktir itu terpaksa ditamatkan.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai pembangunan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Johor dan meminta beliau mencari penyelesaian serta melihat masalah ini sebagai satu masalah yang istimewa.

“Saya minta kepada JPN untuk angkat perkara ini kepada pihak kementerian secepat mungkin.

“Saya sendiri akan berbincang dengan Menteri dan KSU (Ketua Setiausaha) bagaimana untuk mempercepatkan pelantikan kontraktor baru,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pembukaan sekolah berkenaan amat penting memandangkan anak-anak penduduk di kawasan itu bersekolah menengah di pekan Yong Peng yang jaraknya kira-kira lapan kilometer.

Katanya, bukan sahaja masalah jarak untuk ke sekolah dapat diselesaikan malah ia juga mampu menyelesaikan isu kepadatan pelajar di sekolah pekan Yong Peng itu.

Menurut beliau lagi, sesi persekolahan di sekolah tersebut kelak juga akan dibuat satu sesi berbanding sekolah di Pekan Yong yang terpaksa dilangsungkan dua sesi ekoran bilangan pelajar yang terlalu ramai.

“Ini adalah masalah masyarakat dan harus kita lihat rintihan mereka dah kita dengar.

“Jadi, Insyallah kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah kerajaan yang amat prihatin, bertanggungjawab untuk melihat semua keperluan rakyat itu kita dahulukan,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya kemungkinan kunjungannya ke sekolah berkenaan dituduh sebagai “gula-gula pilihan raya”, Mohamad menegaskan, ia merupakan isu rakyat yang perlu diambil perhatian.

Katanya, ia bukanlah gula-gula tetapi satu tanggungjawab dan amanah yang perlu diselesaikan untuk kepentingan penduduk di kawasan tersebut.

“Bukan hanya apabila tibanya Pilihan Raya Negeri, dan saya sendiri kalau anda lihat  akan turun sepanjang masa ke seluruh negara untuk melihat sendiri permasalahan sekolah-sekolah atau institusi di bawah KPM.

“Banyak isu kita akan turun dan lihat sendiri. Ini adalah salah satu masalah rakyat sudah begitu lama. Jadi saya turun bukan gula-gula pilihan raya tetapi tanggungjawab kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette