KLUANG – MIC bertanding empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan ramai meramalkan parti terbesar masyarakat India itu berkemungkinan akan memenangi lebih daripada dua kerusi kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum-14, MIC hanya menang dua kerusi iaitu iaitu DUN Kahang yang penyandangnya, R. Vidyananthan dan DUN Tenggaroh, R. Raven Kumar serta tewas di DUN Gambir dan DUN Skudai.

Itu juga bukanlah titik hitam buat MIC kerana sebelum itu juga parti itu mula mengalami kemerosotan sokongan masyarakat India sejak berlakunya demonstrasi besar-besaran oleh HINDRAF pada tahun 2007 malah Presiden MIC ketika itu, Tun S. Samy Velu sendiri tewas di kerusi tradisi Parlimen Sungai Siput pada tahun berikutnya.

Namun sejak parti itu mula diterajui oleh Tan Sri SA Vigneswaran pada 2018, saat keseluruhan komponen Barisan Nasional (BN) tumbang di tangan Pakatan Rakyat (PH), bekas Yang DiPertua Negara itu agak agresif dan lantang.

Lantang bukan sahaja dalam kalangan pimpinan BN sebaliknya Vigneswaran juga agresif memastikan kesemua pemipin dalam MIC bangkit dalam mengembalikan maruah parti itu dengan melakukan pelbagai transformasi dan sentiasa memastikan mereka berada di landasan yang betul.

Beliau dari awal lagi telah menyatakan pendirian MIC tidak akan berkompromi atau diberikan kerusi kalah atas pelbagai faktor luar kawalan sebaliknya parti itu perlu diperlakukan dengan adil berasaskan realiti politik hari ini.

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran mengalungkan bunga malai kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung MIC yang ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2021.

Oleh yang demikian, sejurus selepas kemenangan MIC di DUN Gadek pada PRN Melaka, parti itu telah diberikan empat kerusi penting untuk ditandingi dalam PRN Johor.

Timbalan Naib Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan yakin MIC akan dapat menyumbang lebih dari dua kerusi kali ini.

“Mungkin awal-awal kita tidak berapa pasti dan hanya yakin kemungkinan menang dua atau tiga kerusi namun kini sejak kempen bermula situasinya mula berubah pada minggu pertama lagi.

“Kini kita ada keyakinan untuk menyumbang empat kerusi sekaligus kepada BN, ini kerana sokongan mula meningkat jika hendak dibandingkan dengan pilihan raya sebelum ini.

“Kita lihat penerimaan masyarakat terhadap kita agak luar biasa, pengundi sedar tentang semua jasa serta sumbangan MIC melalui komponen BN selama ini lebih 60 tahun. Fitnah dan sentimen kebencian sebenarnya tidak akan ke mana,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan

Manakala dalam satu pertemuan dengan Pengerusi MIC Johor, Vidyananthan yang juga calon DUN Kahang pula memberitahu, pucuk pimpinan tertinggi parti telah menyuruh masing-masing turun padang sejak dua tahun lepas.

“Menang atau kalah, Tan Sri Presiden telah arahkan kita turun dan mula bekerja, mendekati masyarakat setempat, memahami kehendak dan keperluan mereka, sentiasa dekat dengan mereka. Jadi jika anda tanya saya, momentum ini bukanlah baharu sebaliknya seperti sudah sebati.

“Masyarakat sini sudah kenal kita begitu lama, kita sendiri dalam parti MIC tidak ada pilihan lain selain memastikan kemenangan besar di keempat-empat DUN ini selain menggerakan jentera parti untuk kesemua DUN yang ada di Johor.

“Saya amat optimis untuk kita menang besar, untuk MIC menang lebih kerusi mungkin kali ini empat kerusi. Kita akan sumbang kepada BN supaya kita boleh menubuhkan kerajaan di negeri ini. Rakyat bukan nampak kita sejak kempen ini, bukan datang bermusim tetapi kita sudah bertapak lama,” tegasnya.

Untuk makluman, selain DUN Kahang dan DUN Tenggaroh, MIC juga telah mempertaruhkan N. Saraswathy yang juga Ketua Wanita MIC Johor untuk bertanding di DUN Kemelah yang juga dikatakan kubu kuat BN dan mampu mencapai kemenangan.

Calon N04 Kemelah, N Saraswathy bersama Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy.

Saraswathy juga bukan wajah asing di negeri ini malah merupakan seorang yang sudah bergelumang dengan politik dan kerja-kerja kebajikan sejak 33 tahun lalu.

Beliau merupakan seorang ahli perniagaan berjaya.

Manakala Raven Kumar yang bertanding di DUN Tenggaroh juga bukan wajah asing sebaliknya penyandang dua penggal DUN tersebut dan cukup dikenali oleh penduduk tempatan kawasan itu.

S. Suppayah yang bertanding atas tiket BN dalam persaingan empat penjuru di DUN Bukit Batu membabitkan Lee Ming Wen dari Parti Warisan (Warisan), Tan Heng Choon (PN) dan Arthur Chiong Sen Sern (PKR) juga bukan wajah asing serta mempunyai peluang besar di situ.

Pada PRU-14, MIC yang sudah berusia 76 tahun itu menang di kerusi DUN Tenggaroh dan DUN Kahang masing-masing dengan majoriti 5,765 dan 2,861 undi manakala di DUN Gambir dan DUN Skudai tewas masing-masing dengan majoriti 3,088 dan 35,126 undi.

Seramai  239 calon bertanding bagi merebut 56 DUN dalam pilihan raya negeri kali ini. 

BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding di semua 56 DUN manakala, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di tujuh kerusi. 

Selain itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di enam kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu kerusi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette