Brigedier Jeneral Meor Ahmad Kamal memakaikan Beret Kehormat PASKAU kepada Mohd Asghar Khan.

BANTING – Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dianugerahkan Beret Kehormat Pasukan Khas TUDM (PASKAU) hari ini.

Upacara pemakaian Beret Kehormat PASKAU itu disempurnakan Panglima Rejimen TUDM, Brigedier Jeneral Meor Ahmad Kamal Meor Termizi.

Penganugerahan Beret Kehormat PASKAU itu adalah kesinambungan pengiktirafan pasukan khas TUDM itu kepada Panglima Tentera Udara.

β€œIa berlandaskan sifat kepimpinan, kewibawaan, kecemerlangan dan semangat waja dalam menerajui TUDM serta sumbangan bakti terhadap pembangunan dan pemerkasaan keupayaan tempur PASKAU khususnya,” kata kenyataan TUDM kepada media hari ini.

Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Indera Muhamad Norazlan Aris; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail; pegawai kanan TUDM serta warga Pangkalan Udara Jugra.

Terdahulu, Mohd Asghae Khan menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan yang melibatkan 11 pegawai dan 100 anggota Lain-Lain pangkat diketuai Mejar Hasnizam Harun dan diiringi pancaragam Akademi Tentera Udara, Ipoh.

Selain itu, Panglima TUDM turut meninjau kemudahan latihan di Pusat Akuatik dan pameran peralatan PASKAU serta meluangkan masa menyantuni warga pangkalan. – MalaysiaGazette