Petugas SPR melakukan kerja-kerja sanitasi pada hari mengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Serbaguna Perumahan PDRM Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

BUAT pertama kali golongan berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Golongan itu berjumlah 6.67 peratus atau 173,177 daripada keseluruhan bilangan pengundi Johor seramai 2,597,742 orang.

Meskipun jumlah pengundi muda tidak ramai namun setiap undi adalah amat berharga kepada parti yang bertanding.

Satu undi boleh membezakan kemenangan atau kekalahan calon-calon yang akan bertarung esok.

BN paling popular, MUDA ketinggalan

Johor menjadi medan ujian mengenalpasti kecenderungan sokongan parti yang akan dipilih oleh kumpulan yang berusia 18 hingga 20 tahun. Ini kali pertama mereka mengundi.

Seorang penganalisis politik Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi  yang merupakan Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya telah turun membuat kajian lapangan di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini.

Dr. Awang Azman.

Kajian yang dilakukan bersama dengan Awani itu bagi meninjau pola sokongan pengundi termasuk dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 24 tahun.

Hasil dapatan yang dilakukan menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan paling tinggi daripada golongan tersebut iaitu 49.9 peratus.

Parti MUDA yang dilihat kehadapan memperjuangkan isu Undi 18 paling rendah mendapat sokongan iaitu 5.9 peratus.

“Popular di media sosial belum tentu popular di peringkat lapangan,” kata Dr. Awang Azman apabila ditanya mengenai populariti MUDA melalui presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melonjak di Twitter dan TikTok.

Tambah Dr. Awang Azman, daripada tujuh calon yang diletakkan MUDA hanya Amira Aisya Abd Aziz  yang bertanding di DUN Puteri Wangsa berpotensi untuk menang.

Sementara itu Perikatan Nasional, menurut Dr. Awang Azman mendapat 17.2 peratus sokongan manakala Pakatan Harapan pula sebanyak 12.2 peratus.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa secara keseluruhan kumpulan berkenaan tidak berminat dengan politik iaitu sebanyak 80 peratus. Namun 61.2 peratus menyatakan komitmen untuk keluar mengundi dan 31 peratus lagi tidak pasti.

Kira-kira 750,000 pengundi baharu termasuk pemilih berusia 18 hingga 20 tahun bakal mengundi dalam Pilihan Raya negeri (PRN) Johor nanti.- Gambar hiasan.

Dr. Awang Azman menegaskan, hanya 20 peratus daripada kumpulan itu benar-benar berminat dan faham mengenai politik.

Jika mereka tidak berminat dengan politik apakah faktor yang mendorong mereka untuk menyokong dan mengundi calon dan parti yang menjadi pilihan kumpulan itu pada PRN Johor?

“Disebabkan kurang pemahaman isu politik semasa, mereka kurang tahu mengenai reformasi politik dan sebagainya, pengetahuan mereka kebanyakan dilentur oleh ibu bapa.

“Jika ibu bapa mereka memilih parti A maka kemungkinan besar mereka akan memilih parti A juga,” terang Dr. Awang Azman.

Dalam pada itu, kajian yang dilakukan oleh beliau turut mendapati secara keseluruhan 65.6 peratus kaum Meyatu akan turun mengundi.

Manakala 40.9 peratus orang Cina memutuskan untuk keluar mengundi.

Kurang faham struktur kenegaraan dan sistem demokrasi

Dalam pada itu tinjaun yang dilakukan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain di Johor mendapati golongan Undi 18 sebenarnya belum bersedia untuk menjadi pengundi.

Mohd. Izani Mohd. Zain

Undi yang akan mereka lakukan pada PRN Johor nanti bukanlah bersifat tulen kerana majoriti mereka belum memahami betapa pentingnya tugas dan tanggungjawab memilih pemimpin yang akan diletakkan di DUN sebagai wakil merka.

“Dalam satu kumpulan 10 orang, ada dua tiga orang yang sedar tentang pilihan raya, tahu siapa yang bertanding.  Lapan lagi tidak tahu apa-apa tentang pilihan raya, siapa bertanding. Dia pun tidak ada kesedaran untuk keluar mengundi.

“Mereka ini berharap dua tiga orang ini untuk ajak, pengaruhi. Kalau tidak mereka tidak akan keluar mengundi.

“Rakan sebaya memainkan peranan penting kebanyakan pengundi muda,” katanya.

Dr. Mohd Izani meramalkan trend tersebut akan berlanjutan dalam beberapa pilihan raya sebelum kumpulan itu benar-benar menyedari kuasa yang ada pada undi mereka dalam membela nasib rakyat dan menentukan arah pembangunan negara.

Sidang Dewan Rakyat

Tambah beliau, kumpulan Undi 18 yang menyedari kepentingan mengundi hanyalah mereka yang mengambil Sijil  Tinggi Pelajaran Malaysia serta mereka yang menyambung pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi.

“Contoh pelajar-pelajar lepasan STPM yang mengambil matapelajaran Pengajian Am. Sebenarnya subjek itu sangat kritikal. Membolehkan pelajar tahu struktur dan sistem politik. Bila mereka tahu, itu yang menyebabkan mereka mahu mengundi.

“Berbanding dengan remaja yang tak tahu langsung pasal sistem negara, demokrasi itu apa, Parlimen itu apa. Mereka mungkin tidak akan mengundi kerana mereka  tidak ada sebab untuk berbuat demikian,” kata Dr. Mohd. Izani.

Serentak itu, untuk jangka masa panjang beliau mencadangkan agar pendidikan politik di ajar di peringkat sekolah menengah.

“Pelajar kena tahu asas kenegaraan, kena tahu sistem dan struktur pemerintahan negara, perlu tahu sistem demokrasi.

“Dalam demokrasi ada Parlimen, nak pilih ahli Parlimen kena ada pilihan raya, bila ada pilihan raya kena mengundi. Benda-benda ini kena difahami dan diajar dahulu kepada pelajar.

“Bagaimana sistem negara kita, struktur pemerintahaan negara, baru mereka boleh kaitkan pentingnya mengundi, sebab nak pilih dan bentuk kerajaan,” tegasnya.

Apapun PRN Johor akan menjadi penanda aras kepada banyak pihak adakah peluang yang diberikan akan digunakan sebaik-baiknya oleh Undi 18. Sama-sama kita tinggu esok. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.