Tentera Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) India meronda di sepanjang sempadan berpagar dengan Pakistan di sektor Ranbir Singh Pura berhampiran Jammu 26 Februari 2019. foto Reuters

NEW DELHI – India mendakwa ia secara tidak sengaja melepaskan peluru berpandu ke Pakistan pada hari Rabu, menyalahkan insiden itu sebagai “kepincangan teknikal” semasa penyelenggaraan rutin.

New Delhi berkata, ia amat dikesali dan menyatakan rasa lega kerana tiada siapa yang terbunuh.

Tentera Pakistan berkata, “objek terbang berkelajuan tinggi” telah terhempas berhampiran bandar timur Mian Channu dan merupakan laluan pesawat komersial, sekali gus membahayakan penerbangan penumpang.

Kedua-dua negara mempunyai senjata nuklear.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan India berkata: “Pada 9 Mac 2022, semasa penyelenggaraan rutin, kerosakan teknikal menyebabkan tembakan peluru berpandu secara tidak sengaja. Kerajaan India telah memandang serius dan mengarahkan mahkamah peringkat tinggi melakukan siasatan”.

Islamabad memberi amaran kepada NEw Delhi untuk “berhati-hati dengan akibat yang tidak menyenangkan daripada kecuaian sedemikian” dan untuk mengelak daripada berulang.

Objek itu telah dilancarkan dari Sirsa di negeri Haryana, katanya.

Tentera udara Pakistan berkata, peluru berpandu itu bergerak pada kelajuan Mach 3 – tiga kali ganda kelajuan bunyi – pada ketinggian 12,000m (40,000 kaki) dan terbang sejauh 124km (77 batu) di ruang udara Pakistan sebelum terhempas.

“Laluan penerbangan objek ini membahayakan banyak penerbangan penumpang nasional dan antarabangsa di ruang udara India dan Pakistan, serta nyawa manusia dan harta tanah,” kata jurucakap tentera Pakistan Mejar Jeneral Babar Iftikharon.

Pada hari Jumaat, Kementerian Luar Pakistan telah memanggil pihak berkuasa India untuk menjelaskan mengenai insiden itu.

Pakistan juga menggesa India untuk berkongsi hasil siasatannya terhadap apa yang berlaku. – CNBC (https://www.cnbc.com/2022/03/11/india-says-it-accidentally-fired-missile-into-pakistan.html)