Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Bukit Pasir, Mohamad Fadzli Mohamad Salleh (tengah) dijulang Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

MUAR – Barisan Nasional (BN) wilayah utara Johor berjaya memenangi sebelas daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemenangan ini membuktikan pengaruh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah semakin merosot.

“Daripada 16 DUN yang ditandingi BN Johor Utara, kita menang 11 kerusi, ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan apabila zon utara ini adalah kubu kuat Muhyiddin Yassin.

“Terutamanya bagi Parlimen Pagoh tapi kali ini walaupun kita kalah di DUN Bukit Kepong tapi kita menang di DUN Bukit Pasir, dan klasiknya Muhyiddin bertanding di DUN Gambir kali ini kita menang,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pekembar di Pagoh, sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, BN Johor utara memenangi kerusi Buluh Kasap, Sungai Balang, Bukit Pasir, Labis, Pemanis, Kemelah, Tenang, Bekok, Gambir, Serom dan Bukit Naning.

Lima kerusi yang BN kalah adalah Maharani, Jementah, Bukit Kepong, Tangkak dan Bentayan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bercakap kepada media mengenai kemenang Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

Saarani berkata, kemenangan bergaya BN di Johor menyaksikan pengundi-pengundi di negeri itu telah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Kempen kita adalah untuk mengajak seluruh rakyat Johor bagi mengambil pengajaran daripada keputusan PRU14 lalu di mana akibat tohmahan dan janji kosong oleh Pakatan Harapan menjadikan rakyat Johor beralih mengundi BN.

“PH bentuk kerajaan yang sangat rapuh sama ada di peringkat nasional dan negeri.

“Kerajaan yang tak kuat dan bila-bila masa akan tumbang akibat daripada kerajaan tak stabil, pelabur tak datang dan kakitangan kerajaan jadi sukar kerana dalam tempoh tiga tahun Johor ada tiga menteri besar,” katanya lagi.

Keputusan PRN Johor malam ini menyaksikan BN berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi 29 daripada 56 kerusi yang ditandingi. – MalaysiaGazette