Penting bagi ibu bapa memastikan anak-anak mereka diberikan vaksinasi.

KUALA LUMPUR – Kadar kemasukan kanak-kanak ke wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat Covid-19 meningkat sebanyak 94 peratus untuk semua kategori 3 hingga 5.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), peratusan berkenaan menunjukkan peningkatan ketara bagi kategori 4 iaitu sebanyak 200 peratus, diikuti kategori 5 sebanyak 125 peratus.

“Kanak-kanak kini merupakan golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 memandangkan mereka yang berumur 11 tahun dan ke bawah belum mendapat perlindungan sewajarnya.

“Ini berbeza dengan kumpulan umur lebih tinggi yang telah mendapat vaksinasi,” katanya menerusi hantaran Facebook kementerian itu.

Kata kenyataan itu lagi, pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, terutama apabila negara akan memulakan fasa peralihan ke endemik 1 April ini.

Oleh itu, KKM menasihati ibu bapa mengambil vaksin untuk anak-anak mereka bagi melindunginya daripada jangkitan teruk varian Omicron yang boleh membawa maut dari jangkitan Covid-19 dan komplikasinya iaitu MIS-C. – MalaysiaGazette