GEORGE TOWN – Negara dijangka melepasi kemuncak penularan varian Omicron hujung bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan tanda-tanda penurunan jangkitan varian itu sudah mula dilihat ketika ini.
Kata beliau, kes jangkitan harian varian tersebut dijangka dapat dikurangkan dalam tempoh terdekat berdasarkan pendekatan imuniti kelompok iaitu pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, jelas beliau, negara perlu bersedia berdepan situasi sekiranya terdapat varian Covid-19 baharu yang kebal terhadap vaksin.
“Kita tahu ketika ini varian Omicron memberi tindak balas terhadap imunisasi pengambilan vaksin sedia ada dan ia merupakan maklum balas yang baik.
“Jadi kita harap dengan pendekatan imunisasi kelompok yang diambil kerajaan iaitu dengan pemberian vaksinasi, varian Omicron ini dapat dikawal dan kes jangkitan terus menurun seperti di Filipina dan Britain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Mendepani Cabaran Omicron: Adakah Malaysia Bersedia anjuran Penang Institute di Jalan Brown di sini, hari ini.
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, kes baharu jangkitkan positif Covid-19 sehingga jam 11.59 malam semalam menunjukkan peningkatan tiga hari berturut-turut.
Kes baharu yang direkodkan semalam ialah 32,800 kes berbanding 30,787 pada 10 Mac dan 30,246 kes pada 9 Mac lalu.
Jumlah itu menjadikan kes kumulatif jangkitan Covid-19 sehingga kini sebanyak 3,774,786 kes. – MalaysiaGazette