MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Bukit Kepong, Ismail Mohamad yakin beliau akan dapat merampas kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN).

Walaupun tidak dapat mengundi diri sendiri di Bukit Kepong, Ismail yakin pengundi-pengundi di kubu kuat lawan beliau, Dr Sahruddin Jamal itu  akan memilih BN.

“Saya tak dapat mengundi diri saya, tapi tak apalah pengundi di DUN Bukit Kepong pasti bijak membuat pilihan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ismail selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Temiang pada jam 8.05 pagi tadi.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu, perjalanan mengundi hari ini lancar walaupun ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi tetapi ia memudahkan pengundi.

“SOP sangat ketat tapi memudahkan tak memberatkan pengundi.

“Saya sarankan semua pengundi keluar awal cuaca mendung, petang mungkin hujan,” kata beliau.

Jelas Ismail lagi, beliau akan bergerak bagi meninjau semua pusat daerah mengundi (PDM) di sekitar Bukit lKepong.

“Saya akan tinjau PDM-PDM di kawasan Bukit Pasir dan Bukit Kepong nak tengok perjalanan pilihan raya.

“Saya positif dan menyeru penyokong keluar awal. Besar harapan saya malam ini akan beri kemenangan kepada BN,” katanya lagi.

Ismail menerima tentangan empat penjuru dengan calon PN, Dr Sahruddin; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Md Taib Md Suhut dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 lalu, Dr Sahruddin yang juga Setiausaha Bersatu Johor memenangi DUN Bukit Kepong atas tiket Pakatan Harapan (PH), mengalahkan calon BN, Mohd Noor Taib dan Pas, Muhamad Nur Iqbal Abd Razak.

Dr Sahruddin menang dengan meraih undi sebanyak 11,665 berbanding Mohd Noor (10,392) dan Muhamad Nur Iqbal (1,761).

Hari ini lebih 2,539,606 pengundi akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15, hari ini. – MalaysiaGazette