Aznan Tamin

PENGERANG – Jaminan peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada anak muda tempatan khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat antara perkara pertama yang akan dilakukan Aznan Tamin menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau memberi jaminan tiada anak muda kawasan tercicir daripada mendapat peluang pekerjaan khususnya dalam Rapid Pengerang yang sebelum dipenuhi dengan tenaga mahir dari luar.

“Saya akan kotakan janji saya untuk memastikan peluang pekerjaan di DUN Tanjung Surat ini akan mengutamakan anak muda tempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini malam tadi.

Terdahulu Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO), Shamsul Ariff Sulaiman Tanjung Surat mengumumkan calon BN kerusi itu sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi DUN Tanjung Surat di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai di sini.

Aznan memperoleh majoriti 5,903 undi, sekaligus menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), PKR dan Pejuang.

Aznan yang mendapat 9,850 undi berjaya mengalahkan calon PN, Cikgu Selamat Ujud yang mendapat 3,947 undi.

Kemudian Aznan turut menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rosman Tahir dengan 800 undi serta calon Pejuang, Samat Atan hanya mendapat 110 undi sahaja.

Selain mempertahankan kerusi tradisi BN, Aznan turut berjaya menambah jumlah majoriti undi BN berbanding penyandang kerusi itu sebelum ini.

Selain itu, Aznan komited untuk mempercepatkan pemberian 3,200 lot tanah bagi menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda.

“Saya akam letakkan kouta rumah mampu milik dalam kawasan Felda untuk generasi kedua. Seperti yang kita maklum dalam Ikhtiar BN yang dijanjikan Menteri Besar Johor untuk memberikan lot-lot tanah untuk generasi kedua,” katanya.

Katanya lagi, beliau komited untuk membantu usahawan-usahawan tempatan seiring dengan pembangunan setempat.

“Kita akan membantu usahawan-usahawan di Tanjung Surat seiring, seimbang dan setanding dengan pembangunan yang ada.

“Kebajikan tetap saya akan teruskan hasil kesinambungan yang dilakukan oleh BN, saya akan teruskan jaga kesejahteraan rakyat,” katanya.

Di samping itu, beliau turut akan mempercepatkan penyediaan fasiliti dan aktiviti sukan untuk anak-anak muda seriring dengan kehendak pengundi 18 tahun yang telah membantu memenangkan BN.

“Akhirnya anak muda perlukan khidmat sukan dan kita akan aktifkan sukan serta aktiviti kebudayaan dalam DUN Tanjung Surat.

“Saya pasti rakyat tertunggu-tunggu apa yang saya akan lakukan di DUN Tanjung Surat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette