ADUN Bukit Naning baharu, Datuk Mohd Fuad Tukirin (dua kanan) menyantuni pengundi sebagai tanda terima kasih selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor N.14 Bukit Naning di Warung Hentian Mesra Selalu, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.
ADUN Bukit Naning baharu, Datuk Mohd Fuad Tukirin (dua kanan) menyantuni pengundi sebagai tanda terima kasih selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor N.14 Bukit Naning di Warung Hentian Mesra Selalu, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.

BAKRI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin yang memenangi kerusi itu berterima kasih dengan pengundi muda yang memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam.

Ujar beliau, sebagai muka baharu, beliau berjanji akan menabur bakti kepada para pengundi Bukit Naning yang kembali memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya sesungguhnya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penduduk pengundi di Bukit Naning sebab beri kepercayaan kepada saya untuk menabur bakti ke kampung halaman saya.

“Saya juga berterima kasih kepada pengundi muda yang telah berjaya menyokong saya sepenuhnya kepada saya melihat dalam satu Pusat Daerah Mengundi itu saluran 5 banyak membantu saya dalam kemenangan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan program menyantuni pengundi di sekitar Kampung Parit Tengah hari ini.

ADUN Bukit Naning baharu, Datuk Mohd Fuad Tukirin bercakap kepada media selepas menyantuni pengundi sebagai tanda terima kasih selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor N.14 Bukit Naning di Warung Hentian Mesra Selalu, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2022.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohd Fuad memenangi kerusi DUN Bukit Naning dengan majoriti 1,535 undi.

Mohd Fuad mendapat 5,437 undi menewaskan penyandang kerusi berkenaan, Md. Ysahrudin Kusni daripada PKR yang mendapat 3,317 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mahdzir Abu Said memeproleh 3,902 undi manalaka calon bebas, S. Jeganathan memperoleh 1,514 undi dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Ibrahim Shafe’e hanya memperoleh 86 undi.

Dalam pada itu, Mohd Fuad kini berkobar-kobar untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Dengan kepercayaan yang diberikan pengundi saya akan terjemahkan dalam pergerakan dan juga hala tuju saya di masa akan datang.

“Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada pengundi dalam DUN Bukit Naning,” katanya lagi. – MalaysiaGazette