Bendera Negeri Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – 24 jam berlalu selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di mana Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sewaktu tempoh berkempen, pengundi-pengundi didekati oleh calon-calon untuk meraih undi dan kepercayaan.

Pelbagai janji ditawarkan jika mereka dapat menggalas jawatan wakil rakyat di DUN masing-masing.

Beberapa warga Johor Bahru yang ditemui MalaysiaGazette hari ini meluahkan harapan mereka supaya Menteri Besar serta wakil rakyat yang telah diberi mandat supaya mengutamakan suara rakyat dan bukan sekadar berjanji kosong.

Muhammad Faid Azman

Muhammad Faid Azman, 27, yang merupakan seorang tukang paip berharap wakil-wakil rakyat baharu dapat memikul tanggungjawab dan tidak memandang enteng tentang permasalahan rakyat terutamanya di Johor.

Faid inginkan seorang pemimpin yang adil, seimbang serta bersedia mendengar aduan semua pihak supaya rakyat dan negeri Johor dapat mengorak langkah ke taraf yang lebih maju.

“Masing-masing ada kekurangan dan juga kelebihan tapi kita memang harap kualiti Menteri Besar mestilah yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Bazar Karat Larkin, Ungku Rasidi Ungku Hamzah, 50, berharap wakil-wakil rakyat yang memenangi PRN semalam tidak mensia-siakan undian yang telah diberikan kerana semua itu adalah untuk kepentingan rakyat.

“Minta dipertimbangkanlah juga nasib peniaga-peniaga di Larkin yang pendapatannya terjejas semasa berdepan kekangan Covid-19.

“Dulu tak boleh nak berniaga, susah kami nak cari rezeki.. Bagilah kami kesempatan dan kelonggaran untuk berniaga” katanya lagi.

Mohamad Shameer Esam

Harpaan penjawat awam, Mohamad Shameer Esam, 28, pula supaya kepimpinan negeri tidak mengabaikan golongan muda dari segi pembelajaran dan penglibatan sukan kerana merekalah yang akan menjadi pemangkin negara pada masa akan datang.

“Saya harap kerajaan Johor yang baru ni dapatlah libatkan anak-anak muda dalam industri sukan, saya kenal ramai orang yang mahir bersukan tapi tidak diberi peluang untuk menunjukkan bakat, sudahnya jadi mat rempit” kata Shameer.

Nur Jazlina Junaidi

Bagi Nur Jazlina Junaidi, 20, beliau mengharapkan wakil-wakil rakyat dapat menunaikan tanggungjawab dengan tulus dan menyuarakan suara rakyat untuk tindakan selanjutnya.

Jazlina sempat menyatakan keprihatinannya terhadap golongan berumur dan berharap badan kerajaan yang baharu ini menyediakan lebih banyak kemudahan dan bantuan kebajikan untuk mereka.

“Sediakanlah wheelchair untuk memudahkan orang tua bergerak, bantuan pembiayaan pembelian ubat pun okay. Golongan berumur yang uzur ini ramai, janganlah lupakan mereka.

“Rata-rata mereka semua keluar mengundi dan dah pilih pemimpin sudah sampai masa untuk balas balik budi mereka beri peluang kepada calon-calon naik jadi wakil rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Johor akan lebih maju daripada Selangor dan akan lebih maju daripada Singapura . Syabas rakyat Johor jasa baktinya bersama UMNO .

Comments are closed.