Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya tidak perlu menjual aset kewangan pegangannya ke dalam pasaran bagi mencairkan aset untuk pelaksanaan i-Citra..- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya tidak perlu menjual aset kewangan pegangannya ke dalam pasaran bagi mencairkan aset untuk pelaksanaan i-Citra.

Ini kerana kerajaan mempunyai kuasa bagi mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membeli sementara aset-aset kewangan KWSP yang hendak dicairkan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, bank pusat itu hanya perlu membeli aset KWSP, yang mana aset kewangan KWSP akan ditukar dengan newly created reserves oleh Bank Negara.

“Pendekatan ini hanya akan menyebabkan imbangan kira-kira BNM meningkat, itu sahaja.

”Sekiranya kaedah ini dilaksanakan, tiada masalah kecairan mahupun kejatuhan harga asset kewangan akan berlaku seperti yang Tengku Zafrul gambarkan.

”Oeh kerana kaedah ini tidak menyebabkan harga bon kerajaan (MGS – Malaysian Government Securities) jatuh, maka kadar bunga pasaran bagi bon kerajaan juga tidak akan naik.

”Malah, disebabkan cara ini akan menambahkan rizab kecairan dalam pasaran, maka ia berupaya untuk menyebabkan kadar faedah bon kerajaan menurun, bukan meningkat seperti apa yang digambarkan oleh Menteri Kewangan,” kata Asyraf.

Menurut beliau kaedah  dinamakan sebagai Unconventional Monetary Policy dan ia dilaksanakan secara meluas oleh Bank Pusat di Eropah, USA, Jepun, Australia, Indonesia dan beberapa negara lain bagi menstabilkan pasaran kewangan ketika pandemik ini.

Lagi pun beliau percaya pengeluaran kali terakhir KWSP tidaklah sampai RM63 bilion yang digambarkan, paling banyakpun mungkin lebih sikit daripada i-Citra terdahulu iaitu sekitar RM20 bilion atau hanya 2% daripada jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM1 trillion.

”Nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Janganlah angkuh sangat, dengarlah suara hati rakyat yang amat susah di bawah!,” ujarnya yang menyifatkan alasan Menteri Kewangan sebagai dangkal dan sememangnya menolak pengeluaran i-Citra. – MalaysiaGazette

KWSP boleh agih 6.7% dividen jika tiada pengeluaran khas – Tengku Zafrul