Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing dan pelabur runcit tempatan adalah pembeli bersih bagi minggu berakhir 11 Mac dengan jumlah aliran masuk bersih ialah RM896.5 juta.

Aliran masuk bersih daripada pelabur asing berjumlah RM649 juta.

MIDF Research berkata, pelabur antarabangsa menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dan selama lapan daripada 10 minggu pertama 2022.

Namun belian bersih oleh pelabur asing lebih rendah berbanding minggu sebelumnya (4 Mac) pada RM1.08 bilion.

Firma penyelidikan berkata, pada Isnin minggu lepas, peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing membeli RM57.8 juta dan RM142.6 juta bersih ekuiti tempatan.

Sementara itu, institusi tempatan memulakan minggu sebagai penjual bersih sebanyak RM200.4 juta.

Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih pada setiap hari dalam seminggu sejak sebulan lalu pada 7 Februari iaitu selama 25 hari berturut-turut tanpa gangguan.

Aliran masuk asing terbesar yang direkodkan minggu lepas ialah pada Khamis sebanyak RM172.6 juta dan paling kecil aliran masuk pada hari Selasa hanya pada RM76.36 juta.

Menurutnya, pelabur institusi tempatan sebaliknya menjadi penjual bersih sejak 4 Februari dengan aliran keluar bersih terbesar minggu lepas adalah pada hari Rabu dan terkecil pada hari Jumaat masing-masing berjumlah RM223.7 juta dan RM84.49 juta.

Bagi pelabur runcit, mereka telah menjadi pembeli bersih setiap hari dalam seminggu, kecuali pada hari Jumaat sebagai penjual bersih sebanyak RM32.5 juta.

Belian bersih terbesar adalah pada hari Selasa pada RM121.7 juta, manakala terkecil pada Khamis pada RM17.21 juta.

MIDF Research berkata, secara keseluruhan, untuk minggu ke-10 pada tahun 2022, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada RM649.1 juta, diikuti oleh pelabur runcit RM247.4 juta.

Institusi tempatan adalah satu-satunya penjual bersih yang kukuh sebanyak RM896.5 juta.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -8.09%, -2.09% dan -14.38% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV).

Pada asas tahun sehingga kini, sejumlah RM4.41 bilion dalam aliran masuk bersih daripada pelabur asing dan RM0.63 bilion dalam aliran masuk bersih daripada pelabur runcit.

Sementara itu, institusi tempatan merupakan satu-satunya penjual bersih dengan nilai M5.04 bilion. – MalaysiaGazette