Dr. Noor Hisham (kanan) menyerahkan dokumen pelantikan jawatan pengarah kepada Dr. Ooi.

KUALA LUMPUR – Ketua Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck dilantik sebagai pengarah yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Dr. Mohamed Sapian Mohamed yang dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Dr. Ooi adalah Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam terutama bidang penyakit bawaan vektor, penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit dan registri kanser serta epidemiologi.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr. Ooi yang telah dilantik sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak yang baharu, berkuatkuasa mulai 1 Mac lalu.

“Sebelum ini, Dr Ooi adalah Ketua Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

“Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dapat diteruskan,” katanya menerusi hantaran facebooknya, hari ini.

Dr. Ooi juga banyak terlibat dalam pelbagai penyelidikan mengenai penyakit bawaan vektor seperti malaria, denggi dan Japanese Encephalitis. – MalaysiaGazette