KUALA LUMPUR – Orang ramai sudah boleh mengurangkan kebergantungan terhadap saringan ujian RT-PCR ketika negara dalam fasa peralihan menuju endemik mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian RTK Antigen (RTK-Ag) sudah memadai untuk pengesanan jangkitan Covid-19, selain harganya lebih murah dan dibeli.

“Pakar-pakar juga mengesahkan ujian saringan RTK-Ag memadai untuk mengesan kes positif yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi.

“Ujian RT-PCR pula sangat sensitif sehingga masih memberikan keputusan positif walaupun individu terbabit sudah pulih daripada jangkitan,” katanya di sini.

Khairu berkata, keputusan Rt-PCR juga tidak pantas berbanding RTK-Ag yang hanya perlu menunggu 15 minit untuk mendapatkan jawapan sama jika individu dijangkiti atau sebaliknya.

Oleh itu, katanya, dalam situasi semasa ketika varian Omicron yang cepat dan pantas merebak, ujian RTK-Ag lebih berkesan kerana tidak perlu menunggu lama antara 24 jam hingga 48 jam untuk mendapatkan keputusan.

“Sebenarnya, lebih cepat untuk kita kesan, lebih cepat kita mengasingkan diri jika positif.

”Lebih baik jika 1,000 individu membuat ujian RTK-Ag daripada 10 orang yang membuat ujian RT-PCR,” tambah beliau lagi.

Menteri Kesihatan itu turut menasihatkan individu-individu yang positif dalam ujian RTK-Ag tidak perlu membuat ujian pengesahan dengan menggunakan RT-PCR.

“Sebaik sahaja didapati positif daripada ujian RTK-Ag, terus menjalani isolasi,” nasihatnya.

Khairy berkata, beliau sudah pun mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk memeriksa dan bertindak ke atas kit ujian RTK-Ag di pasaran yang didapati tidak cukup tepat untuk memberikan keputusan bago menjamin kualitinya.

Namun, ujar beliau, ujian RT-PCR masih lagi perlu digunakan untuk tujuan ke luar negara atau pengembara yang memasuki Malaysia. – MalaysiaGazette