Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia telah banyak kali menegaskan pendirian bahawa kerajaan untuk tidak mengiktiraf dan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963.

Tegas beliau, final award bertarikh 28 Februari lalu yang telah dikeluarkan dalam prosiding timbang tara tidak akan menjejaskan kedudukan Sabah sebagai salah satu negeri di dalam persekutuan Malaysia.

“Ingin ditegaskan juga kerajaan Malaysia tidak berdiam diri, sebaliknya kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu untuk menghentikan prosiding tuntutan itu.

“Antaranya, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol telah mengeluarkan keputusan yang berpihak kepada kerajaan Malaysia.

“Ini menyaksikan, mahkamah itu memutuskan bahawa pelan tindakan Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara yang telah dilantik oleh pihak penuntut adalah terbatal dan tidak sah,” katanya dalam penggulungan perbahasan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Bukit Mertajam dan Kinabatangan yang mahu mengetahui keputusan terkini berhubung isu tuntutan oleh waris Sultan Sulu.

Menurut Saifuddin, Mahkamah Tinggi Madrid juga telah memutuskan semua prosiding timbang tara yang berlangsung di Madrid hendaklah diberhentikan serta merta.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan Malaysia telah memfailkan satu aduan jenayah kepada Peguam Negara Sepanyol terhadap Dr. Stampa memandangkan beliau telah mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021 dengan meneruskan prosiding timbang tara di Perancis. – MalaysiaGazette