Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22,535 kes baharu positif Covid-19 direkodkan semalam berbanding 26,250 kes kelmarin.

Ia melibatkan kes import sebanyak 361 kes dengan 327 kes warganegara dan 34 bukan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat kepada 3,823,571 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh yang direkodkan semalam adalah sebanyak 25,356 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 3,468,888 kes.

Kata beliau, bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 384 kes iaitu 174 kes disahkan Covid-19, sebanyak 210 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Manakala kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 222 kes iaitu 103 kes disahkan Covid-19 iaitu 119 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut beliau, daripada 22,535 kes harian yang dilaporkan semalam, kategori 1 sebanyak 8,637 kes, diikuti kategori 2 (13,713 kes), kategori 3 (72 kes), kategori 4 (63 kes) dan kategori 5 (50 kes).

Mengenai jumlah kluster, Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan 6,881 kluster dengan enam kluster baharu, 6,492 kluster telah tamat dan 389 kluster aktif. – MalaysiaGazette