Datuk Md. Fiah menurunkan tandatangan di atas plak pelancaran perasmian Makmal Inovasi STEM.

NILAI – Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan dengan sokongan padu Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan melancarkan projek ulung Makmal Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) di peringkat Negeri Sembilan.

Penubuhan projek Makmal STEM tersebut merupakan inisiatif yang memberi manfaat kepada warga pendidik dan pelajar-pelajar dari seluruh Negeri Sembilan meningkatkan kemahiran dalam bidang kritikal sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md. Fiah Mat Jamin dalam ucapan perasmiannya berkata, projek makmal tersebut selaras dengan hasrat dan wawasan Pelan Pendidikan Malaysia (2013-2025) Kementerian Pendidikan Malaysia dan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Menurutnya, berdasarkan wawasan Pelan Pendidikan Malaysia mensasarkan transformasi kerajaan paling menyeluruh terhadap semua peringkat pendidikan yang bakal memberikan pulangan terbaik sumber insan untuk memacu hasrat pembangunan negara.

Datuk Mad Fiah dan Dr Patrick Khee bergambar bersama wakil jabatan dan institusi swasta yang menjayakan program perasmian Makmal Inovasi STEM.

Katanya, ledakan revolusi sains dan teknologi yang berkembang pesat pada abad ketujuh dan kelapan di dunia Islam ketika dunia Barat masih dalam era kegelapan seharusnya memberikan inspirasi kepada generasi hari ini untuk bersungguh-sungguh mempelajari bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Menurutnya, inisiatif STEM merupakan kesinambungan daripada proses pemupukan kreativiti yang bermula di peringkat sekolah sejak tahun 1990an.

“Gabungan ilmu sains, fizik dan matematik berjaya menghasilkan pelbagai ciptaan prototaip yang membanggakan,” katanya.

Md. Fiah berkata, usaha MIU mewujudkan makmal inovasi STEM berkenaaan merupakan satu pandangan jauh bagi menyediakan generasi pelajar untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang diperlukan ke arah pembinaan tamadun dan peradaban bangsa.

Sementara itu, Naib Canselor MIU, Prof Dr Patrick Khee Peng Kong berkata, keupayaan MIU menubuhkan makmal inovasi STEM tersebut amat berguna untuk memugar penghayatan terhadap teknologi dan inovasi sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti produk yang mapan.

Menurutnya, MIU yang disokong kumpulan pendidikan terbesar Manipal Group of Education (MAGE) dari Bangalore, India menyediakan prasarana pendidikan bertaraf global apabila baru-baru ini diiktiraf berada dalam senarai ke-11 terbaik dari 29 universiti swasta di negara Asean manakala tempat pertama dalam kebolehpasaran graduan.

Katanya, sebagai sebuah universiti yang mendapat penarafan persijilan Leed Platinum (Leadership in Energy and Environment Design), iaitu sistem penarafan bangunan berteraskan terknologi hijau bertaraf dunia dan berada di kawasan kondusif seluas 140 ekar menyediakan wadah pengajaran dan pembelajaran yang selesa untuk semua pelajar.

Projek Makmal Inovasi STEM tersebut turut mendapat dokongan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBK) peringkat Negeri Sembilan dan Everbest Media Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelesaian teknologi pendidikan untuk pembelajaran berasaskan STEM, robotik, pengaturcaraan dan sistem koding. – MalaysiaGazette

Penulis, Mohd. Shah Abdullah bertugas sebagai Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan Komunikasi, Manipal International University, Nilai.