Meenakshi Raman.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Selangor menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi menjalankan siasatan insiden tanah runtuh Taman Bukit Permai, Ampang yang mengorbankan empat nyawa baru-baru ini.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, Suruhanjaya Siasatan ini amat diperlukan memandangkan kawasan Ampang sangat terdedah kepada tanah runtuh dan ia terbukti daripada keruntuhan Highland Towers pada tahun 1993.

Jelas beliau, siasatan menerusi Suruhanjaya Siasatan itu juga perlu dijalankan bukan saja bagi mengenal pasti punca tanah runtuh tersebut sekali gus mengelak daripada insiden sama berulang.

“Melalui siasatan itu kita dapat kenal pasti sama ada berlaku kecuaian oleh mana-mana termasuk pihak berkuasa.

“Kita juga dapat tahu langkah-langkah pemulihan dan pencegahan yang diperlukan termasuk daripada segi undang-undang dan garis panduan yang sedia ada bagi perlindungan tanah bukit dan keselamatan cerun adalah mencukupi atau memerlukan penambahbaikan.

“Nampaknya tidak ada pengajaran daripada tragedi Highland Tower yang telah meragut 48 nyawa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Meenakshi, kerajaan negeri Selangor juga perlu mendalami insiden tersebut dan bukan semata-mata mengaitkan tanah runtuh dengan hujan lebat.

Kata beliau, kekerapan dan intensiti hujan akan meningkat lanjutan daripada kesan perubahan iklim namun apa yang diperlukan adalah untuk bergerak ke arah mengukuhkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim, seperti yang dinyatakan dalam laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim baru-baru ini.

“Suruhanjaya Siasatan bukan sesuatu yang baru, kita boleh lihat contoh di Pulau Pinang yang mana tragedi tanah runtuh meragut 11 nyawa pada 2017.

“Pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan dalam tragedi itu telah membawa kepada penambahbaikan garis panduan cerun bukit selain membongkarkan jurutera perunding yang diupah oleh pemaju bertanggungjawab atas kecuaian.

“Kita mesti mencegah tragedi seperti ini berlaku pada masa depan sementara menjalankan langkah-langkah pemulihan untuk memastikan keselamatan penduduk di zon tanah runtuh,” kata beliau.

MalaysiaGazette pada 10 Mac lalu melaporkan, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Susulan insiden itu, lebih 200 penghuni di 48 rumah dekat kawasan berkenaan yang diarah mengosongkan kediaman masing-masing demi keselamatan diri. – MalaysiaGazette