Ahli Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menjalankan kajian kepadatan tanah di lokasi tanah runtuh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Bukit Permai 2, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2022.

SHAH ALAM – Cerun di Taman Bukit Permai 2 di Ampang Jaya didapati tidak selamat dan berkemungkinan menjejaskan 72 buah rumah di kawasan tersebut sekiranya berlaku runtuhan kali kedua, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, susulan itu pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat akan segera mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk mengosongkan rumah mereka yang turut membabitkan sebahagian rumah di bahagian atas cerun.

“Daripada 48 buah dikenal pasti di peringkat awal, sekarang ini adalah 72 unit rumah terutama di bahagian bawah yang berisiko tinggi dengan keadaan hujan dan pergerakan tanah kecil telah dikesan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor, hari ini.

“Selepas itu (pengosongan rumah dibuat) barulah dilakukan usaha pembaikan dan pemulihan cerun  akan dilakukan sesegera mungkin, cuma dari segi kos kita sedang tunggu berapa lebih kurang kosnya,” katanya.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 yang berlaku Khamis lepas meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) solat jemaah termasuk sunat Terawih, Amirudin berkata. SOP itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum akhir bulan ini.

“Pihak Jabatan Agama Islam Selangor telah mencadangkan beberapa kaedah tertentu dan sudah pasti kita mengambil kira pandangan dikemukakan oleh kerajaan Persekutuan mengenai kedudukan saf yang rapat dan sebagainya.

“Jadi dalam masa terdekat iaitu sebelum akhir bulan ini, atau sebelum Ramadan saya percaya pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam akan mengemukakan SOP tersebut, hasil perbincangan dan perkenan daripada Sultan Selangor ,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. kasihan dan simpati pada mangsa….buat dan beli rumah di kawasan bukit dan tanah tinggi utk elak BANJIR…sebaliknya berlaku TANAH RUNTUH

Comments are closed.