Kenderaan yang membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilihat memasuki perkarangan istana bagi menghadiri upacara angkat sumpah Menteri Besar yang baharu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor baharu dijangka mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar 3 petang ini.

Pada jam 2.54 petang, kenderaan jenis Rolls-Royce yang membawa Sultan Johor memasuki pintu utama  dengan diiringi kenderaan pengiring.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba di Istana Bukit Serene kira-kira pukul 2.40 minit petang.

Sejak semalam, desas-desus Menteri Besar Johor yang baharu menjadi bualan dalam kalangan rakyat dan juga parti politik susulan terdapat tiga nama disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.

Antaranya ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit, Datuk Dr. Puad Zarkashi.

Onn Hafiz, 44, merupakan individu yang dicanang bakal menggantikan Hasni  sebagai menteri besar baharu.

Beliau merupakan pemimpin muda dan berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Hasni sejak Mac 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan itu antara calon muda yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Difahamkan, Onn Hafiz telah berada di dalam Istana Bukit Serene dengan memasuki istana itu melalui pintu belakang.

Manakala Hasni pula tiba jam  pukul 2.17 minit petang. – MalaysiaGazette