Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Masih terdapat kekosongan guru di seluruh negara termasuk di Sabah, kata Timbalan Menteri I Kementerian Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Beliau berkata, kementeriannya menyedari masalah itu dan berdasarkan kepada rekod sehingga 13 Mac lalu, keperluan guru di Sabah adalah sebanyak 1,220 orang.

Katanya, KPM telah mengumumkan Pengambilan Khas seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off bagi mengisi kekosongan guru di sekolah termasuk di Sabah.

“Urusan pengambilan PPP ini adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

“SPP telah mengumumkan tawaran lantikan tetap sebagai PPP DG41 kepada 13,760 calon yang berjaya dalam temu duga.

“Pengumuman tawaran tersebut telah dibuat secara berperingkat bermula 1 November 2021 hingga 1 Mac 2022,” katanya di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, sehingga Mac lalu juga seramai 8,427 guru baharu telah ditempatkan di seluruh negara di bawah Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 Secara One Off Tahun 2021.

Daripada jumlah itu, katanya, 1,454 guru telah ditempatkan ke Sabah dengan 652 daripada mereka merupakan anak kelahiran negeri itu.

Kata beliau, guru baharu ini mula melapor diri pada 1 Mac lalu. – MalaysiaGazette