Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli memutuskan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan akan datang.

Keputusan itu diambil selepas PKR mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri.

Oleh itu, beliau berpendapat politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

”Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

”Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihanraya negeri. Setiap kali PKR dan PH mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut beliau, satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan UMNO/Barisan Nasional dan terbaharu Majlis Presiden PH bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan PN kemungkinan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rafizi berkata, walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan ‘khemah besar’ ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan PH, seolah-olah sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

Sedangkan, PKR dan PH menang dalam PRU14 kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat.

”Rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.

”Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan.

”Sebab itu UMNO/Barisan Nasional boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018,” ujarnya sambil mendakwa, beliau terus mendapat desakan dari pendukung PKR dan PH dalam kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menambah, di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihan raya manakala di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P Ramlee dahulu.

”Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaasuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat,” tambahnya.

Beliau berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat.

Tetapi jika PKR dan PH mahu menambat kembali hati rakyat, parti itu perlu berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat. – MalaysiaGazette