Seorang pemandu hilux terlibat kes kemalangan sehingga mengakibatkan empat sekeluarga maut di Lebuh Raya Sultan Iskandar pada 27 Februari lalu didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 16 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Aliff Asyraf Abu, 27, yang hadir dengan memakai pendakap leher dan tongkat itu membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux didakwa memandu dengan melulu atau kelajuan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian ke atas P. Milan Damani, 32; C. Tinisha, 31; Rihaan Ivaan Damani, 4, dan Ishaan Ivaan Damani, 3.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuh Raya Sultan Iskandar, di sini, pada pukul 11.20 pagi 27 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Izzat Hasizan memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dibuat.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 April depan bagi sebutan semula kes.

Pada 27 Februari lalu, media melaporkan pemandu Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini, ditahan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang hilang kawalan dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Hyundai Starex.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu dari arah Mahameru menghala ke Jalan Tun Razak terbabas di selekoh lalu melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

“Selepas itu Toyota Hilux berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Hyundai Starex.

“Akibat dari kemalangan itu, empat sekeluarga berusia di antara tiga hingga 31 tahun yang berada di dalam Hyundai Starex berkenaan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya.  – MalaysiaGazette