KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berharap kerajaan mencari formula baru mengembalikan wang simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebenaran pengeluaran RM10, 000 dari KWSP yang diumumkan hari ini dianggap sebagai pinjaman sementara atau advance payment bagi menampung jutaan orang yang terjejas.

“Ramai ahli kesatuan merasa amat lega dengan pengumuman oleh Perdana Menteri hari ini menyatakan kerajaan membenarkan pengeluaran wang simpanan KWSP.

“Sebenarnya pengeluaran wang RM10, 000 amat membantu bagi mereka yang kehilangan pendapatan selama dua tahun,” kata Sekretariat NUFAM dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun NUFAM juga menggesa wang ahli KWSP sepatutnya dibiayai oleh kerajaan kerana ia boleh dianggap sebagai pinjaman sementara kepada rakyat.

“Ini adalah wang simpanan pekerja untuk hari tua tetapi atas keadaan yang amat mendesak, ramai orang telah berkali kali mendesak kerajaan agar mereka dibenarkan mengeluarkan wang mereka untuk membayar hutang.

“Isu pengeluaran KWSP ini ada kebaikan dan juga keburukannya dan jika isu ini tidak diatasi dengan baik, ia juga akan membawa mudarat kepada ahli.

Buat masa ini, kata NUFAM, ramai pekerja yang hilang pendapatan merasa amat lega setelah kerajaan mengumumkan kelulusan pengeluaran hari ini.

Sebaiknya, wang KWSP ahli ini harus ditampung dan dibiayai kembali oleh kerajaan apabila keadaan ekonomi kembali pulih dengan sepenuhnya.

“Sememangnya banyak masalah telah dihadapi oleh rakyat sejak tiga tahun ini dan ia tidak boleh dielak atas sebab beberapa fakta terutama sekali masalah Covid-19 di mana ramai terjejas hidup mereka.

“Antara fakta lain adalah pemberhentian beribu pekerja di syarikat penerbangan,” katanya.

Masalah tutup perniagaan dan banjir juga telah menyebabkan ramai keluarga terkesan.

“Jadi, tidak salah kalau wang pencarum ini dapat diganti semula oleh kerajaan apabila ekonomi telah kembali pulih sepenuhnya.

“Pengeluaran wang KWSP ini umpama talian hayat buat mereka yang amat memerlukan wang terutama sekali B40 dan yang bergaji rendah dimana ramai sudah tidak mampu untuk menyara hidup mereka,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast