SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) telah menjalankan siasatan serta-merta dan melakukan langkah penambahbaikan susulan insiden seekor tikus berkeliaran di wad 3B Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) seperti yang tular di laman sosial.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, pihaknya menambah kekerapan dalam jadual pembersihan dan kutipan sampah selain menitikberatkan penjagaan kebersihan di sekitar hospital khususnya di semua wad.

“Pihak konsesi penyelenggaraan hospital juga diarahkan mengenal pasti lokasi yang kerap didatangi tikus dan mempertingkatkan kuantiti pemasangan perangkap selain melakukan penjadualan kawalan makhluk perosak melalui aktiviti pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan pencegahan terancang setiap hari dan bulan menggunakan kaedah bersesuaian.

“Unit Entomologi dan Pest juga turut dilibatkan dalam menjalankan siasatan dan memberi khidmat nasihat teknikal bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, JKNNS amat menghargai maklum balas yang diberikan dan sentiasa berusaha memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam yang mendapatkan rawatan di hospital adalah terjamin.

Dua hari lepas tular rakaman video berdurasi enam saat dan 12 saat di laman sosial Twitter dan TikTok yang menunjukkan seekor tikus berkeliaran di wad kanak-kanak sebuah hospital kerajaan di sini. – Bernama