Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Majoriti ahli Pergerakan Pemuda UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang kuat dan stabil.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat, ia perlu mendapat mandat yang jelas daripada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan yang ada ketika ini bukan sebuah kerajaan yang datang daripada mandat rakyat.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang terbentuk akibat daripada kejatuhan Pakatan Harapan (PH) yang berantakan sesama sendiri tetapi ketika kita hendak menyerahkan mandat itu semula, situasi dan suasana tidak mengizinkan (kerana) berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang begitu tinggi.

“Kali ini kita akan beralih dari fasa pandemik kepada endemik jadi tidak ada alasan lagi kalau kita hendak menangguhkan penyerahan mandat ini kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

Perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas Asyraf, ucapan Mohamad mewajahi aspirasi sebenar akar umbi seperti yang sering dibangkitkan di peringkat mesyuarat cawangan dan bahagian sebelum ini.

“Sebab itu, kalau kita lihat usul-usul bahagian, hanya enam (bahagian) sahaja mahu pemilihan diadakan segera dan PRU-15 ditolak lebih jauh lagi tetapi majoritinya mahukan pilihan raya umum diadakan kerana memahami apa yang Tok Mat katakan iaitu mewujudkan sebuah negara yang stabil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Pergerakan Pemuda UMNO pada masa kini adalah sebuah generasi yang sudah bangkit semula serta memegang panji-panji perjuangan untuk kembali kepada rakyat.

“Pemuda UMNO sekarang bukan sahaja tahan lasak dan tahan diuji tetapi juga mampu menilai bagaimanakah realiti perjuangan yang sebenar.

“Ia bukan sahaja berpandukan kepada nilai kebendaan kerana kalau betul mereka ini terlibat dengan UMNO kerana jawatan, UMNO tiada apa-apa untuk diberikan atas faktor projek dan imbuhan kerana UMNO waktu itu (PRU-14) sudah tidak ada apa-apa, sudah kalah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast