KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk meneruskan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G di negara ini mencerminkan aspirasi nasional untuk Digital Malaysia yang inklusif.

Oleh itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) mengalu-alukan dan menyokong keputusan kerajaan itu.

”Model SWN tersebut menggambarkan tanggungjawab bersama bagi memenuhi objektif kolektif 5G untuk Malaysia yang mana syarikat-syarikat telekomunikasi akan memberi tumpuan kepada pelaburan dan membangunkan produk dan penyelesaian 5G yang inovatif untuk pelanggan akhir.

”Digital Nasional Berhad akan memberi tumpuan kepada pembinaan rangkaian ke arah pelaksanaan liputan dan kapasiti yang lebih pantas dengan cara yang menjimatkan kos.

”TM akan terus menyediakan backhaul gentian (fiber) seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian yang ditandantangani dengan DNB pada 16 Disember 2021.Ini merupakan satu lagi contoh usahasama awam-swasta dalam pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi kritikal bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam masa sama, TM berharap dapat melancarkan produk dan penyelesaian berkeupayaan 5G kepadapelanggan unifi dan TM ONE.

”Kami kini sedang menjalankan percubaan rangkaian dan pelanggan di peringkat dalaman untuk membawakan penawaran fiber 5G konvergens yang dipertingkatkan serta perkhidmatan 5G kepada pelanggan unifi dan TM ONE kami,” ujar TM. – MalaysiaGazette