Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi beramah mesra dengan sebahagian perwakilan wanita pada Perhimpunan Agung Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO yang bersidang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pagi ini.

Beliau yang sebahagian daripada perwakilan Pemuda UMNO diberi penghormatan duduk di barisan hadapan.

“Saya juga minta semua perwakilan untuk memberikan tepukan semangat kepada Menteri Besar muda kita, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga merupakan bekas pemimpin daripada kilang Pemuda,” kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum memulakan ucapan dasarnya.

Pada persidangan yang sama, Onn Hafiz juga terserempak dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum singgah ke Persidangan Wanita UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan sesuatu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

Onn Hafiz, cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas Barisan Nasional (BN) memenangi lebih dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, sebelum mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. – MalaysiaGazette