Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang akan menganjurkan Pahang Hiking Day 2022 dan akan dilancarkan Ahad ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang akan menganjurkan Pahang Hiking Day 2022 dan akan dilancarkan Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Sharkar Shamsudin berkata, pelancaran serentak diadakan 13 lokasi di negeri itu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Bukit Buloh @The Rest Forest di Jerantut pada hari yang sama.

Selain Bukit Buloh, kawasan yang terlibat dalam program itu ialah Taman Eko-Rimba Parit Fall (Cameron Highlands); Bukit Peninjau (Lipis); Gunung Tahan (Lipis); Bukit Kolam (Raub); Bukit DO (Bentong); Bukit Woh (Temerloh); Bukit Kertau (Maran); Bukit Senorang (Bera); Bukit Pelindung (Kuantan); Bukit Tanjung Batu (Rompin); Bukit Ridan (Rompin) dan Gunung Nenek Semukut (Pulau Tioman).

Menurut Sharkar, ia merupakan acara pendakian santai bagi tujuan promosi kawasan bukit-bukit di negeri Pahang.

“Selaras dengan tema baharu pelancongan Pahang iaitu This Is Pahang- Unlimited, acara Pahang Hiking Day 2022 adalah pemangkin untuk pelancong luar Pahang mencuba dan menerokai hidden games melalui pendakian di bukit-bukit yang menjanjikan pemandangan yang menarik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Sharkar, Pahang mempunyai sebanyak 79 bukit dan sejumlah 2, 044 batang sungai.

Selain itu, katanya, Pahang mempunyai 26 buah taman eko-rimba dan dua buah hutan taman negeri iaitu Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Cameron Highlands yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi bagi seisi keluarga dan peminat aktiviti luar.- MalaysiaGazette