Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Para pelajar dibenar melakukan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka di kawasan sekolah mulai 21 Mac ini.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihaknya telah membuat beberapa penambahbaikan ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“Ini adalah termasuklah membenarkan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum yang
melibatkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan
sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, guru, jurulatih, pengajar yang terlibat dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka bersama murid perlu lengkap divaksin.

Sementara itu, KPM turut membenarkan penganjuran aktiviti, pertandingan, kejohanan
sukan dan kokurikulum namun pelaksanaannya adalah terhad dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid, guru, jurulatih serta pengajar sekolah berkenaan sahaja.

Jelasnya, pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran kementerian berkenaan.

“Dalam hal ini, KPM berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti/pertandingan sukan dan kokurikulum jika didapati penganjur tidak mengikut ketetapan KPM, ujarnya.

Menurut kenyataan itu, semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah perlu mematuhi garis panduan Annex Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian
Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette