Jemaah menunaikan solat hajat pada Majlis Malaysia Berzikir Ambang 2022 ketika di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bermula 1 April ini, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, jemaah pada masa sama terus digalakkan untuk membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Beliau berkata, kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

“Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada individu yang telah menerima vaksin Covid-19.

“Masjid dan surau juga dibenar mengerjakan solat sunat terawih 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan, begitu juga aktiviti qiyamullail selepas tengah malam.

“Selain itu, majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan di masjid dan surau, manakala makanan digalakkan disediakan secara berbungkus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Ajib, JAWI turut membenarkan aktiviti tadarus Al-Quran di masjid dan surau yang dihadiri kumpulan-kumpulan kecil, pada mana-mana waktu yang bersesuaian.

Katanya lagi, semua kebenaran itu tertakluk kepada SOP ditetapkan selaras nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT,” ujarnya. – MalaysiaGazette