Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra dengan sebahagian perwakilan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Cadangan mengeluarkan peranan pendakwa raya daripada fungsi Jabatan Peguam Negara merupakan cadangan yang baik dan harus diperhalusi.

Ia juga perlu di bawa ke peringkat seterusnya dengan segera, kata  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menyokong penuh agenda transformasi institusi dan penjernihan budaya politik negara yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2021 hari ini.

Menurut beliau, ketika ini, kedua-dua tugas menasihati kerajaan dan sebagai pihak pendakwaan terletak di atas satu jawatan sahaja iaitu Peguam Negara.

“Banyak negara yang telah mengasingkan fungsi Peguam Negara dilantik kerajaan. Peguam Negara ini menasihati kerajaan dan di negara ini juga menasihati Yang Dipertuan Agong tetapi pendakwaan itu apa yang saya dapat baca dari Pemuda UMNO tadi supaya biarlah Solicitor General (Peguamcara Negara) yang lakukan pendakwaan (manakala) Peguam Negara sebagai institusi yang menasihati.

“Pernah dulu saya suarakan sekali mengenai hal ini supaya dilihat dan dikaji, macam dahulu Malaysia pernah ada Peguam Negara macam lantikan politik iaitu semasa Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir, beliau menjadi Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara.

“Banyak negara pun begitu jadi untuk lebih telus dan senang Peguam Negara bertugas, ada pemisahan antara mendakwa dan menjadi penasihat itu diasingkan. Itu satu cadangan yang amat baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persidangan sayap-sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Mohamad turut mengulas berkaitan Akta Pendanaan Politik dan Akta Anti Lompat Parti yang turut dibangkitkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar yang disampaikannya.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Rembau itu, Akta Pendanaan Politik juga menjadi hasrat UMNO sejak dahulu lagi ketika mentadbir kerajaan.

“Itu memang hasrat UMNO dari dulu, UMNO mentadbir negara dulu kita mahukan supaya adanya satu rang undang-undang pendanaan politik supaya ia jelas dan telus.

“Akta Anti Lompat Parti itu memang sepatutnya dibentangkan dalam sesi ini tetapi saya dengar ia nak ditangguhkan, saya tak tahu sebab apa kerana ini lah orang kata instituitional reform yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

“Anti lompat parti atau pendanaan politik dan semuanya merupakan perkara baik dibawa oleh Pemuda UMNO (jadi) boleh dijadikan sebagai asas perbahasan PAU yang akan berlangsung esok,” ujarnya.

Dalam ucapan dasarnya awal hari ini, Asyraf Wajdi membangkitkan mengenai tiga agenda transformasi institusi dan penjernihan budaya politik negara yang meliputi mengeluarkan peranan pendakwa raya daripada fungsi Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, cadangan itu bersandarkan kepada prinsip keadilan dan mengelakkan daripada konflik kepentingan terutama menyentuh pendakwaan politik terpilih.

Beliau menjelaskan Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri tidak wajar menasihati kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa bagi melakukan pendakwaan. – MalaysiaGazette