Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2022.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO sama ada membenarkan beliau bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berterima kasih kepada sayap Puteri UMNO yang mencadangkan namanya diangkat menjadi calon PRU15, namun perkara itu hanya boleh diputuskan oleh parti.

“Pandangan sayap-sayap parti untuk saya bertanding di kerusi Parlimen saya rasa itu bukan hak saya untuk menentukan. Saya serahkan kepada pucuk pimpinan membuat pilihan calon bila sampai masanya tapi yang penting ialah menterjemahkan apa juga dasar yang kita buat pada hari ini.

“Saya amat yakin bahawa kesudahan PAU kali ini akan melihat penyatuan kukuh antara barisan kepimpinan negara khususnya,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021), hari ini.

Semalam, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu diberikan peluang untuk bertanding kerusi Parlimen.

Kata Zahida, ramai dalam Pergerakan Puteri UMNO kecewa apabila Hasni tidak dipilih menjadi Menteri Besar Johor.

Dalam pada itu, Hasni berkata, UMNO harus terus bersatu bagi memastikan parti itu menang dalam PRU15 akan datang.

“Saya amat berbesar hati apabila Presiden UMNO dengan jelas menyatakan cabaran yang dihadapi oleh parti dan menyeru kepada perpaduan menjadi tajuk utama dan itu sepatutnya menjadi kunci kepada kejayaaan sekiranya kita inginkan PRU diadakan segera,” katanya lagi.

Ditanya mengenai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) kerajaan negeri Johor yang akan dibentuk Menteri Besar Jogor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Hasni berkata pelantikan Exco dijangka terdiri daripada golongan muka baharu bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang mantap.

“Sama ada muka baharu ataupun muka lama di dalam Ikhtiar BN memang sudah kita jadikan sebagai salah satu daripada hasrat untuk menterjemahkan Ikhtiar itu untuk memantapkan kerajaan negeri.

“Maka itu perisytiharan harta adalah salah satu daripada usaha untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berintegriti.

“Bagi komposisi Exco  saya percaya akan dibarisi orang muda kerana ramai calon semasa PRN terdiri daripada pimpinan orang muda, jadi sekiranya mereka diberikan peluang itu adalah baik untuk Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ramai dalam Pergerakan Puteri UMNO kecewa apabila Hasni tidak dipilih menjadi Menteri Besar Johor TAPI NIKMAT DENGAN KENCING ZAHID dan gengnya

Comments are closed.