Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hadir pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2022.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hadir pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membidas UMNO yang dilihat ‘kemaruk’ untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Beliau mempersoalkan niat untuk mengadakan PRU memandangkan perdana menteri adalah daripada parti itu.

“Kalau kita bubar, kita menjatuhkan kerajaan UMNO kerana Datuk Seri Ismail Sabri adalah Perdana Menteri dia bukan daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dia orang UMNO, tapi kita sendiri nak jatuhkan dia,” katanya kepada MalaysiaGazette di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021), hari ini.

Jelas Nazri lagi, sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) ingin meneruskan langkah membubarkan Parlimen, maka ia harus diketengahkan kepada ‘rakan-rakan’ dalam kerajaan yang lain.

Ini kerana, kerajaan pimpinan Ismail Sabri masih lagi merupakan satu gabungan dengan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam soal sekarang kalau kita nak buat PRU15 kita kena tanya kepada parti-parti yang bersama dengan kita kena tanya (Tan Sri) Muhyiddin, (Tan Sri Abdul) Hadi Awang, Johari (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) boleh buat PRU.

“Bukan macam dahulu sebab masa BN dulu kita majoriti. Kalau Presiden UMNO dulu Perdana Menteri buat keputusan jadi (PRU), sebab itu tidak kena tempat. Kalau Muhyiddin yang masih Perdana Menteri mungkin kita boleh desak, tapi ini (Ismail Sabri) orang kita,” jelas Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.

Lantaran itu, Nazri berkata, tiada keperluan untuk UMNO mendesak agar PRU15 diadakan lebih awal daripada tempohnya.

“Kita dah jadi kerajaan, kita (UMNO) bukan dominan. Parti kita cuma ada 41 (kerusi) saja. Tapi kita boleh jadi Perdana Menteri, tak pernah terbayang.

“Sepatutnya kita sokonglah bukannya dengan menuntut supaya dibubarkan Parlimen. Parti-parti lain tak suruh bubar pun.

“Kalau kita bubar, kita orang UMNO menjatuhkan kerajaan UMNO. Datuk Seri Ismail Sabri ialah Perdana Menteri, dia bukan orang Pas, bukan orang Bersatu, dia orang UMNO (kenapa) kita sendiri nak jatuhkan kerajaan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette