KUALA LUMPUR – Polis Petaling Jaya sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ yang dipercayai terlibat dalam kes menyamar sebagai anggota dan mengangkut motosikal di sebuah apartment/

Video kejadian ini yang berdurasi 39 saat tular di laman Facebook dinaikkan oleh pemilik akaun ‘Kaki Restore’ semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video itu memaparkan sebuah motosikal Yamaha RXZ biru yang diangkut oleh dua lelaki.

Mangsa yang menyedari kehilangan motosikalnya pada 16 Mac, kira-kira jam 5.20 petang telah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan apartmen tempat tinggalnya bahawa motosikal tersebut telah dibawa dengan sebuah lori oleh anggota polis yang telah mendaftar nama dan nombor kad pengenalan di pondok pengawal.

Mangsa, 30, adalah pekerja penghantar makanan.

Mohd Fakhrudin berkata, berdasarkan risikan, pada hari sama lebih kurang jam 11.50 malam, pasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di kawasan Mutiara Damansara.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi dia mengaku mengangkut motosikal tersebut dengan seorang lelaki, iaitu kawan kepada ‘Mamat Mulong’ menggunakan lori yang dipandunya.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori mendakwa telah ditawarkan rakannya iaitu ‘Mamat Mulong’ dengan upah RM100.

“Pendedahan suspek membawa kepada rampasan sebuah lori Mitsubishi Fuso dan motosikal Yamaha RXZ yang dalam keadaan tidak sempurna, empat telefon bimbit pelbagai jenama dan sebatang spanar berbentuk ‘T’ kuning yang telah diubah suai di kawasan Kampung Tengah, Puchong,” katanya.

Suspek ditahan selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fakhrudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat ‘Mamat Mulong’ dimohon memberikan kerjasama dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Azizi Bajan di talian 010-5882574. – MalaysiaGazette