Para perwakilan yang mendengar ucapan perasmian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Untuk memberi keyakinan kepada ahli yang UMNO mampu mengembalikan kegemilangan, parti perlu membuktikan kemampuannya.

Ia termasuk mampu melakukan perubahan demi menarik sokongan golongan muda.

Itu pandangan Naib Ketua UMNO Bahagian Segamat, Aidil Othman.

Naib Ketua UMNO Segamat, Aidil Othman pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 MAC 2022.

Beliau yang juga salah seorang perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 menegaskan, parti perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan.

Beliau yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk menjadikan UMNO lebih terbuka kepada pemimpin daripada golongan anak muda.

“Saya melihat UMNO perlu berubah. Menerusi ucapan Presiden beliau dilihat mahu memberi peluang kepada golongan muda dan dengan cara ini anak muda boleh mempercayai UMNO dan kembali kepada parti.

“Dalam kita mencari kepercayaan rakyat, persepsi rakyat perlu di ke hadapan, pemimpin muda perlu buat apa, perlu tunjuk kepada rakyat apa yang UMNO boleh lakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar pagi tadi berkata, ahli-ahli wajib meletakkan keyakinan bahawa UMNO mampu mengembalikan kegemilangan negara.

Dalam masa yang sama, seorang lagi perwakilan PAU 2021 hari ini, Azirah Abd Aziz berpendirian UMNO perlu mengambil teladan daripada pengalaman menjadi parti pembangkang, selepas kalah pada pilihan raya yang lalu.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Batu Pahat, Azirah Abdul Aziz pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 MAC 2022.

Dalam memastikan UMNO terus dipercayai dan diyakini, parti juga perlu memastikan dapat meningkatkan sokongan daripada anak muda.

Katanya lagi, ini kerana pengundi muda merupakan antara yang menjadi penentu kemenangan sesebuah parti politik.

Justeru jelasnya, meletakkan calon-calon dalam kalangan anak muda antara salah satu strategi yang boleh digunakan UMNO.

“Sebelum ini kita pernah kalah, UMNO perlu berubah, jadikan pengajaran semuanya, pernah jadi pembangkang, jadi daripada situ UMNO belajar.

“Mungkin sebelum ini calon banyak veteren, selepas itu PRN Melaka dan Johor yang dicalonkan dalam kalangan anak muda, kemenangan kepada anak-anak muda jadi sekiranya kalau trend pencalonan seperti ini. Insya-Allah boleh mendapat sokongan pengundi,” katanya.- MalaysiaGazette