PAU2021
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 secara rasminya bermula hari ini selepas acara simbolik menaikkan bendera Sang Saka Bangsa disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pagi ini.

Acara gilang-gemilang yang menjadi tradisi parti Melayu itu dimeriahkan lagi dengan perbarisan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO lengkap berpakaian rasmi sayap parti itu.

Lagu UMNO, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat mengiringi upacara menaikkan bendera keramat parti Melayu itu sambil disaksikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Ahmad Maslan.

Upacara yang bermula jam 8 pagi tadi itu didahului dengan menaikkan bendera semua sayap UMNO dilakukan secara serentak di hadapan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta Exco Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO.

Bendera sayap diwakili Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad.

Turut kelihatan, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengiringi Ahmad Zahid sebelum upacara itu bermula.

Sejurus selepas selesai upacara menaikkan bendera itu, kesemua barisan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan semua sayap parti itu bergambar secara berkumpulan sebelum meneruskan PAU 2021 di Dewan Merdeka, pagi ini. – MalaysiaGazette