Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan projek High-Technology Valley (AHTV) di Proton City di Tanjung Malim, Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaburan daripada DRB-Hicom ini bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan.

Ismail Sabri membuat pengumuman itu ketika menyampaikan Ucapan Penggulan Naib Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya, pengoperasian projek berkenaan kelak akan menambah lagi 161,000 peluang pekerjaan baharu.

Tambah beliau, kerajaan turut memperkenalkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion.

Saiz dana untuk program ini akan mencecah RM200 juta, ujar beliau.

Menurut beliau, program ini akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal seperti peniaga-peniaga kecil.

“Melalui program ini, contohnya, kerajaan menyediakan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM dan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu tanpa faedah. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan pinjaman skim mikro kredit sehingga RM75,000 tanpa faedah berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan untuk usahawa agro-makanan.- MalaysiaGazette