Gambar hiasan

SERIAN – Konflik Rusia-Ukraine yang berlarutan dijangka memberi kesan kepada pengeluaran komoditi negara terutamanya berikutan peningkatan harga baja, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin.

Beliau berkata, kenaikan harga baja itu berlaku memandangkan Rusia merupakan salah satu negara pengeluar utama komponen pembuatan baja dunia dan Malaysia mengimport bahan berkenaan.

“Sebab itulah harga baja terus meningkat, sudah semestinya konflik ini ada kesannya (kepada pengeluaran komoditi negara ini),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 anjuran Lembaga Koko Malaysia di Siburan, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Willie berkata, minyak sawit yang merupakan salah satu komoditi eksport utama negara mencatatkan harga paling tinggi ketika ini susulan permintaan tinggi terhadap komoditi itu berbanding minyak sayuran lain seperti minyak kacang soya dan bunga matahari.

Menurutnya, trend harga tinggi minyak sawit di pasaran dunia itu dijangka berterusan ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan kos buruh tinggi yang dialami negara-negara pengeluar minyak kacang soya dan bunga matahari pada masa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast